Laporan dan Foto : Anuar C A

Kangar, 7 Jun (UdaBayas) – Keceriaan jelas terpancar pada wajah 100 orang kanak-kanak apabila masing- masing menerima hadiah “duit raya” daripada Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Ibni Al-Marhum Tengku Abdul Rashid selepas selesai Majlis Iftar Bersama Tuanku Raja Perlis di Dewan Warisan Kangar semalam.

Pemberian itu melibatkan seramai 50 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Mak Teh dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis yang berpusat di Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Jejawi manakala selebihnya dari kanak-kanak yang berada di Rumah Kanak-Kanak Arau dan Pusat Tahfiz Al Hikmah, Padang Siding, Pauh.

Bagi Nor Arisha Hazlin Ahmadi Hassan (10) dari Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah menjelaskan bahawa pemberian ini sangat bermakna kepada beliau ketika Syawal yang bakal tiba.

“Saya sangat teruja apabila menerima duit raya dari Raja Perempuan Perlis tadi dan saya akan simpan duit RM50.00 ini untuk kegunaan di masa depan bila saya besar nanti”, jelasnya.

Turut berangkat Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis serta Menteri Besar Perlis dan isteri.

Terdahulu dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra berkenan berbuka puasa dan solat terawih  bersama lebih dari 300 para jemputan yang terdiri dari Ahli Dewan Negeri, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan serta imam- imam di negeri Perlis.

Majlis diakhiri dengan pemotongan kek hadiah ulang tahun Keputeraan ke-72 Tuanku Raja Perempuan Perlis yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Perlis.