Laporan/foto: M.Syafiq Saad (Padang Terap)

KUALA NERANG, 26 Nov (UdaBayas) – Seramai 105 kanak-kanak di Daerah Padang Terap menyertai program Berkhatan 2018 anjuran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang dengan kerjasama Hospital Kuala Nerang.

“Perkhidmatan berkhatan secara percuma diberikan bagi membantu golongan berpendapatan rendah menjalani kehidupan yang bersih dan selesa,” ujar Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail yang merasmikan program ini di Hospital Kuala Nerang, di sini, pagi tadi.

Norhizan (tiga dari kanan) mendukung peserta termuda program, Mohd Nasrul, yang hanya berusia lima tahun.

Norhizan menjelaskan ekoran daripada sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat, pihak hospital akan menganjurkan lebih banyak program seperti ini dan program lain dari semasa ke semasa dalam usaha merakyatkan hospital agar dekat di hati masyarakat.

“Program ini bertujuan memasyarakatkan orang ramai dengan hospital sesuai dengan slogan Kementerian Kesihatan kami iaitu ‘Sedia Membantu’ masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya lagi.

Seorang waris peserta berkhatan, Salleh Mahmud, 46, program ini amat membantu golongan B40 dan dirinya sendiri dapat berjimat RM100 untuk seorang anak.

“Ini dapat meringankan beban perbelanjaan kami, tambahan lagi di saat ibu bapa perlu memikirkan kos perbelanjaan sekolah anak-anak yang akan bermula tahun hadapan,” ujarnya.

Sebelum dikhatankan peserta meneruskan tradisi bersiram yang dikendali oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang.