Laporan: Norliza Y. / Foto: Azman J.

KOTA KINABALU, 7 Jan (UdaBayas) – Sebanyak 1,071 sekolah rendah di Sabah akan menerima bantuan persekolahan pada tahun ini.

Bantuan daripada Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) itu berupa baju seragam, kasut sekolah, buku dan set alat tulis melibatkan 280,353 murid dengan peruntukan berjumlah RM12.1 juta.

Menterinya, Datuk Jainab Ahmad Ayid berharap bantuan berkenaan dapat membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa untuk persiapan awal persekolahan anak-anak.

Jainab turut mengingatkan para pembekal dilantik tidak mengambil kesempatan dengan membekalkan bantuan yang tidak berkualiti dan tidak menepati spesifikasi ditetapkan kerajaan.

Jainab menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemberian Bantuan Persekolahan kementerian tersebut di pejabatnya, pada Khamis.