Laporan & Foto: Ramasamy A.

JEMPOL, 4 Jan (UdaBayas)-“Program Kembali ke Sekolah yang julung kali diadakan oleh Malaysian Indian Congress (MIC) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertujuan membantu persediaan bagi pelajar–pelajar tahun satu selain mengurangkan beban golongan yang memerlukan dalam membuat persediaan bagi sesi persekolahan 2018”.

Demikian kata, ADUN Jeram Padang, Datuk Manickam Letchuman ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada 135 pelajar tahun satu yang memulakan sesi persekolahan 2018 di lapan  buah sekolah SJKT yang terletak dalam kawasan DUN Jeram Padang.

“Program yang julung kali diadakan ini akan diperluas kepada pelajar tahun satu hingga enam khususnya kepada keluarga yang mempunyai tanggungan ramai serta kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka,” jelasnya.

Manickam bersama penerima sumbangan SJKT Ladang Sialang

“Kerajaan telah menanggung hamper 90 peratus kos pendidikan, malah cuma 10 peratus sahaja perlu ditanggung oleh ibu bapa iaitu bayaran yuran PIBG, sukan dan uniform sekolah,” ujarnya.

Manickam, yang juga Exco Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan ribuan terima kasih kepada TNB yang memberi sumbangan tersebut dibawah misi tanggungjawab sosial yang secara  langsung dapat mengurangkan beban sara hidup keluarga penerima sumbangan yang dianggarkan kos lebih kurang RM200 seorang.

Dalam pada itu, Guru Besar SJKT Ladang Senama, Safina Abdullah ketika ditemui, gembira kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tanggungan kepada ibu bapa dan sekali gus akan memberi satu inspirasi dan dorongan kepada pelajar baharu.

Sementara itu, Guru Besar SJKT St Helier Bahau, R. Ramasamy berkata sumbangan tersebut dapat dimanfaat sebaik mungkin oleh ibu bapa bagi meningkatkan taraf dan ilmu pendidikan pelajar.