Laporan/foto: Idham Ishak

PUTRAJAYA, 17 Apr (UdaBayas) – Seramai 612 warga Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disempurnakan oleh Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Gobind berucap sempena Majlis APC KKMM 2018

Pada majlis itu, Gobind telah menyampaikan APC KKMM sepanjang tahun 2018 kepada 612 warga kerja KKMM termasuk 180 orang penerima daripada Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Bagi kakitangan Jabatan Penerangan, Norlydiana Ishak, 36, dianugerahkan APC buat kali pertama merupakan antara kenangan manis sepanjang 10 tahun beliau berkhidmat di dalam JaPen.

“Syukur Alhamdulillah di atas penghargaan ini dan semoga ianya akan menjadi pembakar semangat buat diri saya untuk terus berjaya,” katanya.

Norlydiana Ishak menerima APC daripada Menteri KKMM

“Untuk berjaya, kita semua haruslah sentiasa berfikiran positif, tidak mudah putus asa serta mengamalkan sikap amanah dan tanggungjawab. InsyaAllah, setiap apa yang kita impikan akan mudah diperoleh,” tambah Norly.

Gobind Singh Deo dalam ucapannya terdahulu mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan berharap agar warga KKMM dapat melaksanakan tugas sebagai penjawat awam untuk terus mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko bagi menentukan integriti dan tadbir urus tidak terjejas.

Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan Buku Pelan Strategik Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia untuk tahun 2019-2023 yang merangkumi langkah imperatif agar gerak kerja kementerian dilaksanakan mengikut perancangan berasaskan visi, misi dan objektif Kementerian serta dasar-dasar terkini Kerajaan.

EM