Pelapor dan Foto : Pai S Y

KUANTAN, 7 Jun (UdaBayas) – Seramai 2000 pengguna perpustakaan memanfaatkan program World #QuranHour yang diadakan secara serentak di 74 lokasi perpustakaan negeri dan daerah di sekitar Pahang.

Program bermula seawal 10.00 pagi dan berakhir 1.00 petang melibatkan penyertaan sebanyak 61 perpustakaan desa, 10 perpustakaan daerah ,dua perpustakaan cawangan dan sebuah perpustakaan negeri.

Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Faridzah Jaafar berkata, “Antara implikasi program World #QuranHour ini dapat dilihat kerangka fikir masyarakat juga terbentuk dengan mindset berteraskan Al-Quran.”

Menurutnya lagi, ianya  dapat memupuk uniti dengan mencari  titik persamaan dan mengecilkan perbezaan melalui, baca, faham, amal isi kandungan Al-Quran.

Tinjauan wartawan mendapati konsep membaca Al-Quran dengan mendalami maksud, bertaddabur dan berkultum Surah Al-Hujurat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang mendapat sambutan lebih daripada 150 pembaca.

“Saya rasa gembira dapat menyertai program ini dan berharap agar program seumpama ini diteruskan sepanjang masa untuk generasi akan datang” kata peserta warga emas, Wan Ismail Wan Abdullah.

Turut diselitkan sesi tazkirah selepas bacaan ayat suci Al-Quran dipimpin oleh Pencetus Ummah Faris bertemakan ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’ memberi penghayatan kepada pendengar disampaikan dengan loghat Pahang secara santai.

World #QuranHour yang dilaksanakan pada kali ketiga di seluruh Malaysia merupakan inisiatif spiritual di bawah kelolalan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Se-Malaysia.

Penganjuran program seumpama ini mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat apabila mendapat kerjasama baik di jabatan mahupun agensi kerajaan dan pelajar institut pengajian awam serta swasta.

Sementara itu, program World #QuranHour juga mendapat penyerataan seramai 500 pelajar kuliyah Sains Perubatan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.