Laporan/foto: Farhana Azlin (Langkawi)

LANGKAWI, 21 Nov (UdaBayas)- Majlis berkhatan beramai-ramai sempena cuti sekolah yang menghimpunkan seramai 24 orang anak anggota dan 6 orang daripada orang awam telah dirasmikan oleh Ketua Staf Markas Wilayah Laut 3, Kpt. Nor Azizi Abdullah.

Sudah menjadi kelaziman pada setiap hujung tahun sempena cuti sekolah, kanak-kanak lelaki akan bersunat sama ada secara beramai-ramai mahupun secara bersendirian.

Markas Wilayah Laut 3, Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Langkawi telah mengambil inisiatif dengan mengadakan majlis berkhatan serentak dengan kerjasama Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera, Markas Wilayah Laut 3, semalam.

Bayaran yang dikenakan hanyalah RM10.00 untuk anak anggota manakala bagi orang awam dikenakan bayaran sebanyak RM50.00.

Menurut seorang penjaga, Jamsiah Musa, 40,
bayaran yang dikenakan berbaloi jika dibandingkan dengan bayaran di klinik swasta.

“Lagi pula kalau berkhatan di klinik tidak seseronok seperti berkhatan ramai-ramai. Anak saya mahu berkhatan bersama rakan-rakannya yang lain. Dia juga teruja dan gembira ketika dimandikan beramai-ramai,” katanya.