Laporan dan Foto: Anuar C A

Kangar 4 Jun, (UdaBayas) –  Sempena Bulan Ramadan yang mulia, sebahagian pegawai dan anggota jabatan kerajaan  yang bertugas di Bangunan Persekutuan Lama dan Bangunan Tuan Haji Abdul Razak, Kangar  telah berganding tenaga  memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang awam.

Menurut Idrus Zainuddin,  salah seorang anggota kerajaan yang ditemui di program tersebut menjelaskan bahawa program memasak bubur lambuk ini melibatkan lebih dari 30 kakitangan daripada lima agensi kerajaan  dan mereka telah mula bergotong-royong menyediakan bahan sejak dari awal pagi lagi.

“Kami telah sediakan tiga periuk besar untuk memasak bubur ini bermula dari jam 9 pagi dan lebih dari 400 peket bubur lambuk telah  dapatkan disediakan selepas proses memasak yang mengambil masa selama lebih dari tiga jam”, katanya.

Program yang berlangsung di Perkarangan Bangunan Tun Haji Abdul Razak  ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh kakitangan bangunan kerajaan tersebut dan bertujuan untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan di antara sesama anggota.

“Apabila bubur siap dimasak, kami telah mengagihkan kepada orang ramai yang melalui jalan di hadapan Bangunan Tun Haji Abdul Razak pada pukul empat petang untuk membolehkan orang ramai berbuka puasa dengan juadah bubuh lambuk”, tambahnya lagi.

Lebih dari 400 paket bubur lambur telah diedarkan dengan mengambil masa cuma satu jam.

Salah seorang orang awam yang menerima bubur lambuk tersebut, Ahmad Adam dari Bintong menyatakan bahawa beliau sangat teruja dan gembira di atas inisiatif yang dianjurkan ini.

“Saya dapat dua bekas bubur lambuk dan kebetulan pula hari ini isteri saya berhajat untuk berbuka puasa dengan bubur lambuk, jadi saya dapat menjimatkan duit untuk membelinya di pasar Ramadan”, katanya.

Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.