Laporan: Asmidar Z. / Foto: Jeffren M.

KOTA KINABALU, 3 Nov (UdaBayas) – Sebanyak 412 kenderaan menyertai ekspedisi lasak 27th Borneo Safari International Offroad Challenge 2017 (Borneo Safari 2017) bermula 31 Oktober hingga 5 November depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah tersebut menjadikan acara berkenaan sebagai ekspedisi pacuan empat roda terbesar di Asia Tenggara.

“Penyertaan tahun ini melibatkan 1,168 peserta tempatan dan semenanjung serta peserta luar negara antaranya Indonesia, Itali, Jepun, China, Brunei, England, Thailand, Australia, Perancis dan Ireland.

Suasana semasa pelepasan ekspedisi di Jalan Gaya, Kota Kinabalu

“Kita amat berbesar hati kerana pasukan China telah menghantar 18 peserta berbanding tahun lepas hanya empat peserta sahaja sebagai timbal balas kepada penyertaan tim Malaysia yang telah menyertai aktiviti ekspedisi padang pasir tahun lepas di negara tersebut,” katanya selepas Flag Off Borneo Safari 2017 di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Acara Borneo Safari 2017, Faez Nordin memaklumkan, laluan tahun ini menumpukan kepada Banjaran Crocker. Perjalanan akan melalui daerah Papar dan Kimanis meliputi lebih 200km jarak perjalanan.

“Perjalanan 200km tersebut mengambil masa selama lapan hari akan turut diisi dengan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Borneo Safari 2017 di Kampung Ovai dan Kampung Mandalipau dengan menyerahkan beras dan pakaian kepada penduduk kampung.

“Pemeriksaan kesihatan juga akan diadakan oleh pasukan perubatan dUniversiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ekspedisi kali ini dijangka agak mencabar disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan pastinya akan memberi cabaran kepada semua peserta untuk melengkapkan perjalanan yang dijangka tamat pada Ahad depan,” jelasnya.

Faez yang juga merupakan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA) turut berkata, selain laluannya yang masih belum diterokai, pemilihan Banjaran Crocker sebagai laluan Borneo Safari 2017 juga bagi mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi “Pembersihan Paru-Paru” atau Lung Washing Tourism untuk pelancong luar dan dalam negara untuk menikmati udara segar serta keindahan flora dan fauna di negeri ini.