Laporan: Fauzrina B. / Foto: Azman J.

KOTA KINABALU, 11 Jan (UdaBayas) – Seramai 50 orang ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari 12 daerah seluruh Sabah telah menyertai Bengkel Pemantapan Integriti & Inovasi Belia BSMM Sabah pada Ahad.

Bengkel yang diadakan julung kalinya ini merupakan satu program yang berkonsepkan perkongsian, persiapan jati diri dan pemikiran kritis dalam kalangan belia bagi memenuhi skop aktiviti dan kerjaya dalam BSMM.

Merentas halangan ‘Spider Web’ memupuk kerjasama ahli dalam kumpulan.

Pengerusinya, Asnan Yunus Chung berkata dengan adanya aktiviti seperti latihan dalam kumpulan, bukan sahaja dapat membantu dalam peningkatan pengetahuan tetapi juga dapat memberikan motivasi kepada peserta, khususnya ahli belia BSMM Sabah yang bakal meneraju tonggak kepimpinan.

“Selain itu, aktiviti yang akan dilakukan juga dapat mengeratkan silaturahim sesama ahli BSMM yang datang dari tempat berlainan dan memberikan mereka pendedahan awal tentang cabaran belia di peringkat lebih tinggi.

“Ini dapat mewujudkan pembinaan generasi muda yang cemerlang dalam kokurikulum dan akademik serta dapat memberikan contoh yang baik kepada mereka.

“Semangat kerjasama ini dilahirkan daripada jalinan ukhwah dalam kalangan ahli,”ujarnya.

Oleh yang demikian, tujuan BSMM antara lainnya untuk memupuk semangat berpasukan dalam kalangan ahli serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Program ini juga bertujuan melatih ahli BSMM terutamanya Belia Sabah yang terlibat bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran dan halangan yang mendatang dan juga melahirkan pelapis pemimpin baru.

12 daerah yang terlibat ialah Tenom, Sipitang, Bandaraya Kota Kinabalu, Putatan, Sandakan, Ranau, Tambunan, Beaufort, Papar, Keningau, Kota Belud, Tuaran dan juga Ibu Pejabat Negeri.

Turut hadir, Penolong Pengarah Belia BSMM Negeri Sabah, Kevin Lo dan Delegasi Kesihatan International Commitee of Red Cross – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Regula Frei.