Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)

 

ALOR SETAR, 28 Nov (Udabayas) – Seramai 52 orang anak-anak yatim dari tiga daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap diraikan dalam majlis berkhatan oleh Che Puan Besar Kedah, Hajah Haminah Hamidun selaku Penaung Diraja Yayayan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di Wisma YAYSH, di sini semalam.

Ahli Lembaga Pengarah YAYSH, Datuk Rosli Awang menyatakan bahawa pihak yayasan telus menyantuni anak-anak yatim walaupun mengalami kekangan kewangan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah membantu meringankan beban anak-anak yatim ini,” katanya ketika berucap sempena majlis.

Waris yang ditemui, Sakinah Awang, 47, mengucapkan rasa syukur dan berterima kepada YAYSH yang meringankan beban beliau sebagai ibu tunggal untuk mengkhatankan anaknya Mohamad Abdullah Sani.

“Sebagai ibu tunggal dengan pendapatan hasil jualan kuih, agak terbeban untuk mengkhatankan anak kerana kos khatan semakin meningkat. Terima kasih kepada pihak yayasan yang peka dengan nasib kami,” ujarnya.