Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 29 April (Udabayas) – 78 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan umum 2018 menerima Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan bagi tahun 2019.

Pada satu majlis penyampaian anugerah yang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad semalam, seramai 34 orang pelajar UPSR, 32 orang pelajar SPM dan 12 orang pelajar STPM menerima beg, pendrive, dan insentif wang berbentuk wang tunai.

Khalid (kiri) beramah mesra dengan seorang pelajar pendidikan khas yang menerima Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang

Menurut Khalid, Yayasan Wilayah Persekutuan sentiasa memainkan peranan aktif di dalam pelbagai bidang pendidikan termasuk pembangunan ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“Setiap tahun jutaan ringgit dibelanjakan untuk bidang pendidikan bagi memastikan setiap sekolah, guru dan pelajar di Wilayah Persekutuan terus diperkasa, manakala pelajar-pelajar tidak berkemampuan terus dibela.

Khalid (duduk tiga dari kanan) bersama tetamu jemputan dan para penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan bergambar kenangan

“Untuk tahun ini sahaja, sebanyak RM7.6 juta telah diperuntukkan termasuklah kos program yang diadakan pada hari ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau turut mengumumkan bahawa warga Labuan khususnya para pelajar serta warga emas yang layak akan mendapat cermin mata secara percuma melalui program “Mataku Harapanku”.

“Program ini menawarkan pemeriksaan mata secara percuma dan pemberian tiga ribu cermin mata secara percuma untuk fasa pertama.

Para tetamu jemputan bersama Khalid (empat dari kiri) selepas penyempurnaan perasmian trak “Mataku Harapanku”.

“Sekiranya didapati ramai warga Labuan yang memerlukan dan mengalami masalah mata, kita akan usahakan penambahan bilangan cermin mata untuk fasa seterusnya,” katanya.

Jelasnya lagi, program itu merupakan usahasama strategik Kementerian Wilayah Persekutuan, ditaja oleh Yayasan Wilayah Persekutuan, disokong oleh Perbadanan Labuan dengan rakan usahasama SpecTruck Sdn. Bhd. dan rakan media JomChannel serta mendapat kebenaran untuk dijalankan di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

EM