Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

 

BALING, 25 Okt (UdaBayas) – Menyedari kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir di Baling, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP hadir bagi menyampaikan sumbangan di Perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Baling semalam.

Pengurus Sumbangan dan Sosial Korporat Media Prima, Nazim Ismail, berkata ini adalah usaha pihak mereka menyalurkan  sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP- Media Prima di mana sumbangan dapat diberikan kepada mangsa banjir di Baling.

Nazim (tengah) bersam-sama kumpulan sukarelawan sedang menyediakan barangan sumbangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Dengan pemberian barangan makanan dan alatan cucian setiap keluarga ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban mereka,” katanya ketika selesai majlis penyampaian sumbangan kepada 150 keluarga di sini.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Md. Shuhaime Abd Rahman, mengucapkan terima kasih kepada pihak Media Prima-NSTP kerana memilih mangsa-mangsa banjir di Daerah Baling untuk dibantu.

“Walaupun mangsa-mangsa banjir berada dalam kesedihan mereka harus menerima ujian ini dengan tabah dan berharap sumbangan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan mereka,” ujarnya.

Mangsa-mangsa banjir di sini terharu nasib mereka dipeduli.

Sementara itu salah seorang mangsa banjir dari Kampung Lahar, Ensoon Ulung, 71, berkata, sudah empat kali beliau berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Lahar dan banjir kali ini adalah yang terburuk pernah dirinya alami dan dengan sumbangan yang diterima hari ini dapatlah beliau manfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan seharian.

Selain bantuan daripada Tabung Bencana Media Prima-NSTP, mangsa- mangsa banjir ini turut menerima wang tunai sumbangan kerajaan negeri yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ahmad Rashid, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Ishak, Penyelaras Parlimen Baling, Mohd Taufik Yaakob, serta ketua-ketua Jabatan Daerah Baling.