Laporan/foto: Muhammad Syafiq Razi/ Muhammad Syafiq Saad (Padang Terap)

KANGAR, 27 Okt (UdaBayas) – Seramai 30 orang ahli Kelab Malaysiaku Daerah Padang Terap hari ini diberi peluang melawat konti radio PerlisFM dan dapat berinteraksi bersama penyampai radio yang bertugas.

Pengalaman baharu yang diperolehi dari Kembara Kelab Malaysiaku ini, menjadi satu inspirasi kepada pelajar untuk menceburkan diri dalam dunia penyiaran.

Peserta rombongan bergambar kenangan dengan penyampai bertugas.

Seorang pelajar yang ditemui, Nordiana Syakira Mustakim, 15, melahirkan rasa gembira kerana beliau pertama kali datang ke Perlis dan amat teruja apabila diberi peluang untuk berinteraksi bersama penyampai yang bertugas.

“Saya berasa sangat seronok diberi peluang keemasan ini kerana banyak perkara yang saya pelajari tentang dunia penyiaran, ini telah menimbulkan minat saya secara tidak langsung,” ujarnya.

Selain lawatan sambil belajar di PerlisFM, peserta kembara juga di bawa melihat barangan warisan lama di Muzium Kota Kayang dan juga melihat Koleksi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di Galeri Istana Arau.