Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang

GOMBAK, 3 Jan (Udabayas) – Kehadiran penyanyi remaja, Aiman Tino ternyata menghiburkan pengunjung Pesta Jualan Rakyat yang diadakan di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini kelmarin.

Penyanyi yang disukai ramai terutama golongan muda, berjaya mencuri tumpuan apabila mendendangkan beberapa buah lagu seperti ‘Permata Cinta’ dan lagu ‘berhantu’ Ku Rela Dibenci’.

Aiman Tino sedang menghiburkan peminat di program Pesta Jualan Rakyat, kelmarin.

Aiman Tino juga turut diumumkan sebagai Ikon E-Care Revolusi Usahawan oleh penganjur, Kelab Revolusi Usahawan pada malam tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya, Aiman terharu dengan pelantikan tersebut dan akan bekerjasama dengan Kelab Revolusi Usahawan membantu usahawan-usahawan di negeri Selangor dalam bidang perniagaan.

“Mungkin saya boleh memberi semangat kepada remaja yang berminat menceburi bidang perniagaan agar tidak malu untuk memulakannya,” katanya.

Program anjuran Kelab Revolusi Usahawan berlangsung selama dua hari dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, kelmarin.

Ketika ditemui, Daroyah memaklumkan pemilihan Aiman Tino sebagai Ikon E-Care Revolusi Usahawan sangat bertepatan kerana penyanyi itu mempunyai peminat tersendiri yang boleh dimanfaatkan.

“Aiman boleh dijadikan model kerana beliau merupakan anak muda hebat berjaya yang boleh dijadikan contoh kepada golongan muda di Selangor,” katanya.

Daroyah juga memaklumkan kerajaan akan terus membantu usahawan di negeri Selangor melalui Skim Pinjaman Hijrah yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu.

“Sehingga kini kerajaan Selangor telah membantu seramai 56 ribu usahawan melalui program-program mikro kredit tersebut, selain peluang-peluang yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan,” katanya.

-NAZ