Laporan/foto: Hatta Johari (Alor Gajah)

MASJID TANAH, 3 Dis (Udabayas) – Kecemerlangan Muhammad Zulhilmi Shafiee, calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana yang memperolehi keputusan cemerlang 6A bagi kesemua matapelajaran amat membanggakan keluarga.

Katanya, “Kecemerlangan dalam UPSR adalah hasil usaha, tawakal serta perancangan masa dalam menimba ilmu.”
Menurut bapanya, Shafiee Sakimin yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka bahawa pengorbanan membesarkan anak sulungnya dengan kudrat tangan yang tidak seperti orang lain ini dibalas dengan keputusan yang amat menggembirakan.

“Walaupun saya cacat dan tidak memiliki tangan yang sempurna, saya sentiasa berusaha memastikan keluarga terutama anak-anak saya mendapat pendidikan secukupnya.

“Biarpun berulang dari Kuala Sungai Baru ke Masjid Tanah setiap lima kali seminggu untuk menghantar Zulhelmi ke sekolah, pengorbanan itu berbaloi dengan kecemerlangan dalam UPSR,” tambahnya.

Isterinya, Zaidayana Hashim, 41 yang turut mengalami kecacatan fizikal yang mengakibatkannya lumpuh ketika terlibat dengan kemalangan jalanraya 21 tahun lalu.

Kedua mereka menyara keluarga hasil wang pencen dari SOCSO untuk membesarkan dua orang anak dan menjalani kehidupan seperti manusia yang lain.

 

-n