Laporan & Foto Oleh : Mohamad Zairin Bin Mohamad Zin & Sharman Subramaniam (Selangor)

KUALA SELANGOR, 22 Nov (Udabayas) – Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela telah diadakan dalam suasana yang penuh meriah dan gemilang bertempat di Dataran Maharaja SKDML pagi tadi dan majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Penerangan Selangor, Norbaya Jamaludin.

“Majlis ini diharapkan dapat menjadi dorongan dan galakan kepada murid-murid untuk bersaing secara sihat serta mengejar kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu bidang yang diceburi”, kata Pengarah Penerangan Selangor, Norbaya Jamaludin ketika ucapan perasmiannya.

Antara ibu bapa yang hadir

“Walaubagaimanapun, di saat kita meraikan kejayaan pada hari ini, janganlah kita lupa dan leka dengan peranan kita di masa hadapan pula. Kejayaan hari ini bukanlah titik akhir yang perlu dicapai dalam diri murid-murid semua dan masih panjang lagi perjalanan dalam kehidupan dan masih banyak lagi kejayaan yang perlu dicapai oleh murid-murid semua”, ujar Norbaya lagi.

Tokoh Murid Perempuan, Rabiatul Adawiyah Binti Madzlan

Beliau turut berpesan bahawa generasi muda adalah tonggak kepada kejayaan negara pada masa hadapan dan peranan para pelajar masa kini yang akan mencorakkan negara kita pada masa hadapan.

Norbaya Jamaludin, Pengarah Penerangan Selangor

Turut diadakan majlis penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Bagi Tokoh Murid Lelaki disandang oleh Muhammad Naufal Atha Bin Iswadi dan Tokoh Murid Perempuan disandang oleh Rabiatul Adawiyah Binti Madzlan.

Anugerah Tokoh Kokurikulum bagi lelaki disandang oleh Mohamad Shami Izrul Bin Suhaidi dan bagi perempuan pula disandang oleh Rabiatul Adawiyah Binti Madzlan. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Pengarah Penerangan Selangor, Norbaya Jamaludin.

Majlis turut diserikan dengan persembahan ‘Choral Speaking’ dan juga kumpulan koir dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela. Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ICT, Rahman Bin Yahya dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Azlan Sapuan. Kira-kira 150 orang terdiri daripada pelajar dan ibu bapa yang hadir memeriahkan hari anugerah kecemerlangan ini.

-NAZ