Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 28 Apr (UdaBayas) – Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat terutamanya apabila berlakunya sebarang kejadian tidak diingini termasuk kemalangan, bencana alam dan sebagainya.

Pengarah APM Negeri Kedah, Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob, berkata APM sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana alam dan anggotanya sudah diberi latihan mencukupi untuk memberi bantuan dan khidmat kepada masyarakat.

“Semoga APM terus kekal relevan dan sentiasa bersedia dalam mendepani sebarang bentuk cabaran pada masa hadapan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

“Penganjuran aktiviti kemasyarakatan ini juga merupakan salah satu platform bagi mendekatkan agensi keselamatan ini dengan komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan program Hari APM Bersama Komuniti, di sini semalam.

Hari APM Bersama Komuniti berlangsung dengan meriahnya apabila disertai hampir 200 orang peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.