Laporan/foto: Farhana Azlin (Langkawi)

 

LANGKAWI, 19 Nov (UdaBayas) – Gembira, itulah yang terpancar pada wajah kanak-kanak tabika perpaduan setelah selesai mempersembahkan persembahan mereka pada Majlis Graduasi Tabika Perpaduan Daerah Langkawi hari ini di Kompleks Sukan, di sini.

Majlis ini memberi penghargaan serta pengiktirafan kepada 216 orang graduan muda dari sembilan buah tabika perpaduan sekitar Langkawi. Majlis anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Langkawi ini merupakan program yang diadakan pada setiap hujung tahun sebagai tanda berakhirnya sesi persekolahan.

Pengarah Perpaduan Negeri Kedah, Rohai Zahar Nedi, menyatakan bahawa tabika perpaduan mewujudkan suasana harmoni dengan muridnya yang berbilang kaum dan bangsa di mana muridnya dapat bergaul sesama mereka tanpa mengira warna kulit.

Persembahan boria dari Tabika Perpaduan Taman Desa Permata cukup menghiburkan.

“Tabika perpaduan dapat melahirkan insan yang berjaya dan berguna pada negara dan membantu dalam pembangunan modal insan seiring dengan kehendak semasa.

“Tabika perpaduan bukan sahaja tempat pembelajaran asas malah murid dapat mengasah bakat mereka melalui program-program yang Jabatan Perpaduan anjurkan. Ini terbukti dengan persembahan mantap dari setiap tabika perpaduan sekitar Langkawi yang mana kita dapat lihat murid menari, menyanyi, berpuisi malah bersketsa di hadapan khalayak ramai,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.

Menurut Zuraida Yahya, 32, murid-murid mempunyai bakat yang terpendam yang perlu digilap dari awal untuk nampak bakat mereka.

“Anak saya dahulu malu untuk bercakap dan segan untuk menari, tetapi apabila melihat kawan-kawan yang lain turut menari dan menyanyi, dia tidak berasa kekok lagi malah lebih berkeyakinan,” katanya.