Laporan/foto: Fasharina Kholil/Ramli Md Rus (Sik)

SIK, 3 Dis (UdaBayas) – Hasil kreativiti serta olahan bahan terbuang daripada pelajar kolej berjaya menambat hati juri sekaligus menobatkan Kolej KEDA sebagai Johan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan bagi kategori Institut Pengajian Tinggi.

Pintu gerbang yang diperbuat daripada botol minyak pelincir serta robot yang dihasilkan daripada alat pendingin antara replika yang menarik perhatian ramai khususnya para juri.

Pengetua Kolej KEDA, Abdul Rahman Abdul Khalek berkata, tercetusnya idea bagi menghasilkan hiasan serta replika tersebut adalah daripada kursus pengajian yang ditawarkan di kolej ini.

Pintu gerbang daripada botol minyak pelincir yang berjaya menambat hati juri.

“Selain daripada mencari kelainan, ia juga dapat menjimatkan kos serta mempunyai maksud tersendiri bagi setiap hiasan ataupun replika tersebut,” katanya yang ditemui dalam majlis Pengukuhan Jaringan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) baru-baru ini.

Abdul Rahman yang lebih mesra dengan panggilan Ayah Man menjelaskan hiasan serta replika yang dihasilkan adalah daripada bahan terbuang serta terpakai dan dikitar semula seperti botol minyak pelincir, besi dan logam terpakai serta perca kain terpakai dan lain-lain.

Rahman menyifatkan pertandingan ini memberi semangat kepada para pelajar untuk terus mencuba sesuatu yang baharu serta dapat mencungkil bakat pelajar.

“Apabila dimaklumkan johan di peringkat kebangsaan, ianya satu kepuasan apatah lagi kami hampir-hampir menarik diri daripada pertandingan ini ekoran beberapa masalah sebelum penilaian juri,”

“Pertandingan ini wajar diteruskan kerana dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia serta mengetengah dan mencungkil potensi serta kreativiti para peserta,” ujarnya.

Johan kategori institut pengajian tinggi membawa pulang RM 5000, plak serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.