Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)

 

PENANTI, 7 Jan (UdaBayas) – “Pada hari ini kita berasa bertuah kerana dapat menyaksikan sebuah lagi balai bomba baru sebagai pusat khidmat kebombaan iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti yang telah berjaya dibina dan disiapkan”, kata YAS Dato’ Mohammad Hamdan B. Hj  Wahid; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam ucapan beliau sempena Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Penanti yang disempurnakan oleh YB Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, “Pembinaan BBP Penanti ini telah dimulakan pada 21 Disember 2016, disiapkan pada 15 Julai 2018, dan telah diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 9 November 2018. Projek yang menelan kos sebanyak RM 2.38 juta ini dibina di atas tapak berkeluasan 2.8 ekar dan merupakan Balai Bomba kategori D”.

Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Penanti telah disempurnakan oleh YB Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan

Pembinaan balai bomba ini merangkumi bangunan Balai Bomba, ruang jentera satu petak, pejabat pentadbiran, setor logistik, garaj berbumbung, dan fasiliti/ kemudahan sokongan. Dengan siapnya BBP Penanti, khidmat kebombaan, penyelamatan dan pengurusan keselamatan kebakaran kepada masyarakat mengikut keperluan ’fire cover’ sekitar Penanti dan kawasan-kawasan jagaan seluas 68.54 km persegi.  Pada masa ini juga, sebuah lagi balai bomba sedang di dalam proses pembinaan iaitu BBP Batu Kawan dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan April nanti. Dengan siapnya kedua-dua balai ini, jumlah BBP seluruh Pulau Pinang adalah sebanyak 20 buah.

BBP Penanti ini akan dilengkapi dengan sebuah jentera FRT jenis Scania P310. Balai ini akan diketuai oleh seorang Penolong Penguasa Bomba gred KB29, beserta 3 Pegawai Bomba Kanan gred KB22, 6 Pegawai Bomba gred KB19 dan 21 Pegawai Bomba Bantuan.

Balai ini mampu untuk memenuhi keperluan setempat bagi mendapatkan perlindungan kebombaan secara menyeluruh. Selain dapat mempertingkatkan ‘respons time’ di kawasan Pekan Penanti, balai ini juga akan membantu menangani insiden-insiden kecemasan yang berlaku di kawasan daerah yang bersempadanan. Jabatan juga menyedari bahawa Negeri Pulau Pinang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi disamping pembangunan yang pesat dalam pelbagai industri, yang pastinya memerlukan JBPM untuk merancang ‘fire cover’ yang strategik agar ‘response time’ ke tempat kecemasan dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Pada tahun 2018, JBPM telah mensasarkan KPI ‘Response Time’ ditingkatkan kepada 48.5% berbanding 47% yang dicapai pada tahun 2017. Sasaran ini akan dapat dicapai apabila lebih banyak balai bomba dibina di seluruh Negara. Pada masa sekarang, sebanyak 298 buah balai bomba yang telah beroperasi di seluruh negara. Manakala pada tahun 2019, sebanyak 28 buah balai lagi akan disiapkan dan ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan lagi keupayaan operasi kebombaan dan penyelamatan jabatan

Walaupun pencapaian ‘response time’ jabatan masih agak rendah berbanding pencapaian 80% di negara-negara maju, namun jabatan akan terus mempertingkatkan peratusan pencapaian ‘response time’ dari semasa ke semasa apabila lebih banyak balai-balai bomba baru dibina di seluruh negara pada masa hadapan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga amat mengalu-alukan penglibatan masyarakat untuk menganggotai Pasukan Bomba Sukarela atau Pasukan Bomba Komuniti agar mereka boleh meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkaitan keselamatan kebakaran dan tatacara mencegahnya.

Turut hadir di Majlis Perasmian BBP Penanti  adalah YAS Datuk Soiman Sahid; Timbalan Ketua Pemgarah (Pembangunan) dan YAS Aziz bin Moktar; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang