Laporan dan foto : Emran I

ROMPIN, 25 Jun (UdaBayas)-Amalan kunjung-mengunjung ke rumah dalam kalangan peneroka Felda Keratong 8 mengikut blok atau lebih sinonim dengan “Baraan Aidilfitri” atau Ziarah Aidilfitri membuatkan suasana raya tahun ini lebih meriah dan bermakna.

Amalan tradisi masyarakat di sini ini telah dilaksanakan lebih 30 tahun.

Menurut Ketua Peneroka Felda Keratong 8, Zahir Awang, Aidilfitri ialah waktu yang terbaik untuk menziarahi antara satu sama lain.

“Ramai anak perantauan yang pulang ke kampung dan menyertai Baraan Aidilfitri ini. Selain bermaaf-maafan, dapat merapatkan hubungan silaturahim antara ahli blok serta golongan muda. Saya berharap amalan ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kemeriahan Baraan ini turut dirasai dengan juadah raya.

“Antara yang menarik perhatian ialah lemang periuk kera, tapai rendang ayam kampung dan mi rebus. Duit raya kepada kanak-kanak dan orang dewasa,” jelas Zahir ketika ditemui pagi tadi.

Sebanyak 20 buah rumah dikunjungi bermula selepas solat sunat Aidilfitri dan berakhir 1.00 tengah hari tadi.