Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sazli Abu Hassan (Sik)

SIK, 28 Okt (UdaBayas) – Muhammad Amirul Mukminin Abdul Rahman, 26, muncul johan pertandingan memancing selepas berjaya menaikkan ikan patin seberat 3.050 kilogram.

Tidak menyangka penyertaan dalam pertandingan ini yang didorong oleh minat membuahkan hasil apabila berjaya mengalahkan 54 peserta lain dalam Pertandingan Memancing Komuniti Daerah Sik yang berlangsung di Kolam Mancing, Batu 5, di sini semalam.

Amirul yang berasal dari Baling, membawa pulang wang tunai RM300.00 selepas berjaya bergelar johan dalam pertandingan anjuran Pejabat Penerangan Sik dengan kerjasama Kolam Pancing KMK.

Sebahagian daripada peserta yang bertanding.

“Minat memancing sejak dari kecil lagi dan sering ke sini sekiranya berkelapangan. Ini kerana memancing merupakan satu kepuasan kepada minatnya.

“Melalui pertandingan seperti ini dapat menambah rakan baharu di samping bertukar-tukar teknik memancing,” ujar pemuda yang bertugas di Kawasan Perindustrian Kulim ini.

Sementara itu, Muhammad Hasni Ismail, 11, berjaya meraih gelaran pemancing termuda dalam pertandingan ini.

Pelajar tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Teloi Tua ini berkata, dia sering mengikut ibunya memancing dan dari situ timbul minat dalam aktiviti ini.

Mula memancing pada usia seawal 6 tahun, Hasni tidak kekok beraksi bersama dengan pemancing yang lebih berusia dan berpengalaman.

“Dalam seminggu tiga hingga empat kali saya ke sini untuk melepaskan ‘geram’ dan kelmarin saya berjaya naikkan ikan mekong seberat 12.025 kilogram,” katanya.