Laporan/foto: Salwa Razak (Padang Terap)

KUALA NERANG, 8 Feb (UdaBayas) – Kemeriahan untuk mandi-manda di sungai berakhir dengan tragedi apabila Mohamad Ramli Ibrahim, 65, bersama-sama dua cucunya Nur Sariza Samsudin, 14, dan kakaknya Nursafia Hafiza Samsudin, 16, lemas semasa mandi manda di Rumah Pam, Kampung Bukit Sena, tengah hari semalam.

Menurut pihak bomba yang menerima laporan pada pukul 1.45 tengah hari, dimaklumkan terdapat empat orang mangsa telah dibawa arus deras semasa mandi-manda di lokasi tersebut, seorang daripada mangsa tersebut telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan telah dihantar ke Hospital Kuala Nerang.

Operasi menyelamat berakhir pada pukul 5.30 petang dan ketiga-tiga mangsa telah berjaya ditemui.

Menurut ibu saudara mangsa lemas, Sabariah Shaari, 46, beliau amat terkejut apabila mendapat berita yang menimpa anak saudaranya kerana beliau baharu sahaja bergurau senda dengan mangsa sebelum mereka ke sungai.

“Apakan daya tuhan lebih menyayangi mereka, kami redha,” ujarnya dengan nada penuh sayu dan sedih.