Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian

LABUAN, 7 Feb (Udabayas) – Dua Peniaga dikompoun akibat gagal mempamerkan tanda khas berwarna merah jambu bagi barangan yang tersenarai di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 (SKHMP TBC 2019).

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Anual Kannari, Sepanjang SKHMP ini dilaksanakan, sebanyak 410 pemeriksaan yang dilakukan bagi premis sekitar bandar dan luar bandar Wilayah Persekutuan Labuan.

Seorang Pengurus Pasaraya memberi kerjasama semasa pemantauan berjalan.

“Hasil daripada tinjauan dan pemeriksaan, dua tindakan kes telah dihasilkan atas kesalahan gagal mengunakan tanda khas berwarna merah jambu (pink plate) dan kedua-dua premis tersebut dikompoun RM 100,” katanya.

Jelasnya, SKHMP TBC 2019 adalah satu kaedah kerajaan bagi menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah akibat permintaan yang tinggi.

“Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh Kerajaan sepanjang tempoh Skim berkuat kuasa.

“Pelaksanaan SKHMP TBC 2019 adalah dari 30 Januari sehingga 8 Februari 2019,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pemantauan oleh Penguatkuasa KPDNHEP Labuan terhadap salah satu pasaraya di Labuan

Tambahnya, setakat ini peniaga memberi kerjasama yang baik kepada Skim ini.

“Sehingga ke hari ini, tiada sebarang aduan dan masalah berkaitan bekalan atau harga bagi mana-mana barangan yang terlibat dalam SKHMP TBC 2019 hasil tinjauan yang dilakukan di sekitar pemborong dan pembekal bagi Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya lagi.

EM