Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin

LABUAN, 11 Feb (Udabayas) – Sekitar dua ribu umat Islam di Wilayah Persekutuan Labuan hadir mengimarahkan Program Maulid Akbar dan Selawat Perdana sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019, di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan, semalam.

Majlis yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu dimulai dengan alunan Qasidah yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Syeikh Ahmad Darwis dan Kumpulan Nur Ahli Badr.

Alunan Qasidah yang memuji kebesaran Allah SWT dan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW selama sejam itu nyata menarik minat para hadirin untuk sama-sama berselawat dan turut mengikuti setiap baris qasidah.

Antara hadirin yang memenuhi Program Maulid Akbar dan Selawat Perdana

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Al-Fadhil Al-Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid yang seterusnya menyampaikan tausiyah bertajuk ‘Indahnya Hidup Masyarakat Bersyariat’ kepada para hadirin.

Al-Habib Ali Zaenal dalam tausiyahnya menyeru agar umat Islam membangunkan sahsiah diri bagi membentuk sebuah negeri dan negara yang maju.

Beliau turut mengajak para hadirin untuk beriman dan bertakwa sebagai tanda kesyukuran dengan nikmat keharmonian serta keamanan yang diaugerahkan oleh SWT di samping menjamin penduduk di sesebuah negeri itu terus diberkati, terhindar bala bencana serta mendapat keredhoan.

Amir Hussein (kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Al-Habib Ali Zaenal

Sebelum majlis berakhir para hadirin turut mengaminkan doa maulid yang dipimpin beliau.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Sri Amir Hussein, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail dan Pengurus Promosi dan Pemasaran Finacial Park Labuan, Ishamuddin Mansor.

EM