Laporan/foto: Sarah Abdul Halim/Mahrani Mohamad (Kulim)

KULIM, 31 Jan (UdaBayas) – Seramai dua ribu orang warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di daerah Kulim menerima sumbangan sempena Karnival Tahun Baharu Cina yang diadakan selama tiga hari berturut-turut, di sini bermula semalam.

Kegembiraan jelas tergambar pada wajah masing-masing apabila dirai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daerah Kulim Yeoh Keong Chuan dan EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, Azman Nasrudin yang hadir merasmikan karnival ini.

Keng Chuan berkata Tahun Baharu Cina merupakan permulaan tahun baharu bagi masyarakat Cina mengikut zodiak 14 ekor binatang yang ketika zaman dahulu patuh pada perintah pembesar Dinasti Cina.

Peniaga tidak melepaskan peluang menjalankan perniagaan sempena karnival yang berlangsung ini.

Begitu juga harapan beliau untuk mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk membantu menaikkan taraf kehidupan ekonomi dan sosial serta mengutuhkan lagi muafakat hubungan yang terjalin di antara penduduk di daerah Kulim.

“Kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada kerajaan baharu ini.

“Kami akan sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang lebih telus tanpa mengira kaum, agama dan bangsa,” katanya ketika berucap sempena karnival tersebut semalam.

Salah seorang penerima sumbangan, S.Manogaran, 62, berkata beliau berasa bertuah apabila diraikan dengan penuh kemeriahan dan mengharapkan sinar baharu dalam kehidupannya sempena Tahun Baru Cina ini.

Karnival Tahun Baharu Cina bukan sahaja mendapat penyertaan kaum Cina malah kaum Melayu dan India juga turut menjalankan perniagaan mereka dalam karnival tersebut.

Pelbagai persembahan menarik turut disajikan kepada pengunjung.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang menyertai persembahan tarian zumba yang dikendalikan oleh Persatuan Senam Aerobik Daerah Kulim.

Nur Akma, 32, salah seorang pengunjung karnival berkata beliau pertama kali datang merasai kehangatan Sambutan Tahun Baharu Cina ini.

“Saya cukup teruja dengan suasana yang meriah serta pengalaman baharu melihat persembahan pakaian tradisional yang diadakan pada malam ini,” katanya.