Laporan: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 8 Ogos (Udabayas) – Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuatkuasa 1 Ogos 2018.

Pejabat Komunikasi Korporat UIAM dalam satu kenyataan di sini hari ini, memaklumkan pelantikan Dzulkifli Abdul Razak adalah bagi tempoh dua tahun.

Menurut kenyataan tersebut, pelantikan beliau sebagai Rektor ke-enam mendapat perkenan Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah setelah dipersembahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Dzulkifli berpengalaman luas dalam bidang akademik dan pentadbiran, mengantikan Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin yang mengakhiri tempoh perkhidmatan pada 31 Julai lalu.

“Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) USIM dan pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Universiti Antarabangsa yang berpengkalan di Paris, Perancis serta Felo Akademi Sains Malaysia,” katanya.

Kenyataan tersebut turut menyampaikan ucapan penghargaan terima kasih kepada Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin atas sumbangan dan jasa kepada UIAM sepanjang tujuh tahun menerajui universiti itu.

Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), kakitangan akademik dan pentadbiran serta pelajar UIAM mengucapkan tahniah kepada Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak atas pelantikan ini dan percaya beliau mampu menerajui universiti tersebut sebagai pusat rujukan dunia dalam bidang Ilmu Islam.