Laporan/foto: Safwanah binti Zulkopli/Noor Suraya Binti Zainal
FARLIM, 30 Apr (Udabayas) – Hari Bumi Sedunia atau disebut ‘Earth Day’ disambut oleh seluruh masyarakat di segenap dunia.
Kawasan Rukun Tetangga Medan Angsana juga tidak ketinggalan untuk menjalankan program menyambut Hari Bumi Sedunia. Program ini mendapat kerjasama daripada Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pulau Pinang, Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut serta Tadika Pinang Sinar baru-baru ini.
Kanak-Kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna Sempena Hari Bumi Sedunia
Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa program tersebut antaranya ialah menanam pokok, pertandingan mewarna, pertandingan melukis oleh ibu bapa, pertandingan teka silang kata dan macam-macam lagi.
‘Bumi adalah planet yang dihuni oleh seluruh makhluk hidup. Bumi banyak berjasa kepada kita dan wajiblah kita untuk menjaganya. Salah satu caranya ialah dengan memperingati Hari Bumi Sedunia,’ ujar M. Mahendran, pengerusi KRT Medan Angsana.
Aktiviti menanam pokok bunga bersama Guru Besar Pn.Muthurani dari Tadika Pinang Sinar
Tambahnya lagi, kita boleh selamatkan bumi dengan menanam semula pokok, menjimatkan penggunaan air, mengitar semula barang terpakai serta menjimatkan penggunaan elektrik.
Program ini mendapat sambutan yang sangat baik oleh para pelajar Tadika Pinang Sinar, ibu bapa serta wakil agensi kerajaan yang terlibat.
Diharapkan agar program seperti ini dapat memberi kesedaran kepada semua masyarakat tidak kira muda atau tua agar menyayangi bumi kita.