Laporan/foto: Suria binti Karim/Shamsul Bahari (Seberang Perai Selatan)

BUKIT TAMBUN, 10 Apr (Udabayas) -Terpancar kegembiraan dan keseronokan ahli-ahli kelab malaysiaku bersama guru penyelaras apabila diberi ruang dan peluang untuk mengikuti program Kembara Kelab Malaysiaku. Program  dianjurankan oleh Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Perjalanan kembara ini bermula dengan menaiki pengangkutan awam iaitu komuter KTMB bermula di stesen Bukit Mertajam – Arau pada  jam 8.36 pagi. Perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit, yang meliputi jarak perjalanan sejauh 120 kilometer.

Sesi taklimat sebelum menaiki komuter

Aktiviti mengedar bahan-bahan penerbitan Jabatan Penerangan diadakan bersama pelajar kepada orang ramai didalam komuter. Ini merupakan aktiviti yang pertama kali diadakan.

Selain itu, program turut membantu mempromosikan kempen kerajaan mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan awam. Ini berdasarkan dengan  tawaran potongan harga 20%  yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa pada 1 April 2019 yang lalu.

Justeru itu, ianya mampu mengurangkan beban serta memberi lebih keselesaan kepada pengguna. Mashitah bt Mohd Fauzi, 37, seorang guru mengatakan ini adalah pengalaman pertama beliau menaiki komuter dan tidak sangka bahawa ia menjimatkan masa dan lebih fleksibel.

Ketibaan rombongan kembara ini diraikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Mohd Nor Hidayat bin Bidin bersama Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Utara Mohd Huzani Yusof.

Penyampaian cenderamata kepada pengurus KTMB Arau, Encik Marzuki dan merakam gambar kenangan 

Para peserta kembara turut diberikan taklimat dan informasi berkaitan dengan jenayah media siber dan kesan penggunaan media sosial keterlaluan tanpa had kepada masyarakat terutama para pelajar dan remaja masa kini.

Selain daripada kuiz, pelbagai hadiah menarik yang diberikan oleh pihak SKMM bagi memeriahkan program ini. Peserta kembara turut dibawa ke Pusat Kecemerlangan Harumanis yang menjadi daya tarikan dan kebanggaan negeri Perlis.

Umum mengetahui buah mempelam harumanis ini berbuah sekali dalam setahun mengikut musim iaitu bermula pada hujung bulan April hingga awal bulan Julai.  Para peserta juga berpeluang melihat sendiri bagaimanakah rupa sebenar harumanis yang sering menjadi buah mulut kerana harganya yang mahal.

Pengalaman berharga dan ilmu yang bermanafaat yang diperolehi dari program kembara ini diharapkan dapat digunakan sebaik mungkin oleh para pelajar dan semua pesera yang terlibat.