Laporan/Foto: Mazlin Basir & Norhasliza Hamzah/Najib Mohaini (Johor)

MUAR, 4 Dis (UdaBayas) – “Saya cukup yakin dan percaya kita semua amat mengharapkan generasi muda hari ini dapat menyumbang idea, tenaga dan kebolehan mereka. Dan ia perlu digembleng, diaturkan, dicanaikan sebaik mungkin untuk pembangunan sesebuah negeri malah anak muda yang ada nilai moral yang tinggi akan menjadi penentu jatuh bangunnya sesebuah negara,” demikian ucapan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sempena Majlis Perasmian Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung bau-baru ini.

Tambahnya lagi, golongan muda perlu menjadi aset bermakna kepada negara dengan bersama-sama menyumbang idea dan buah fikiran untuk menjadikan negara Malaysia ini sebuah negara yang pantas membangun dengan rakyatnya kekal hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Ucapan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman berkata Jabatan Penerangan menyedari betapa pentingnya usaha menyemai dan menyuburkan semangat cintakan negara dan membentuk keperibadian generasi muda menerusi usaha melibatkan mereka secara langsung dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Program Pewaris Muda telah mula diperkenalkan sejak tahun 2003 lagi di mana saban tahun kita mensasarkan program bercorak kenegaraan, kerohanian dan motivasi kepada para peserta dalam usaha membina keperibadian mereka khususnya dalam aspek hubungan ukhuwah dan komunikasi yang baik dalam masyarakat,” ujar Roselindawati selaku wakil rasmi Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Suasana Majlis Perasmian dihadiri keluarga angkat dan anak angkat

Selain itu, peserta juga akan didedahkan dengan sosial-budaya masyarakat setempat seperti kenduri kampung, aktiviti kemasyarakatan ‘Sayangi Kampung’ dan mengacau dodol sepanjang empat hari berkampung di Parit Bugis Muar sempena Program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018.

Sementara itu, penduduk tempatan yang ditemui Zainudin Zakaria, 66, berkata Program Pewaris Muda ini sangat baik dan memberi manfaat kepada para peserta seterusnya mengukuhkan lagi hubungan antara anak angkat dengan keluarga angkat.

Program Kerohanian Zikir Munajat Asmaul Husna di Masjid Raudatul Jannah, Kg Pt Bugis Muar

Turut hadir Pegawai Daerah Muar, Mohd Hafiz Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni dan Pengerusi Muafakat Komuniti Malaysia Mukim Sg Balang Saifudin Mohd Kadak, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi & Pembangunan Masyarakat (PKPM) Jabatan Penerangan Malaysia Putrajaya, Hashim Bedu dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Johor, Zainudin Ismail.

EM