Laporan: W. Arif Fadhila                    Foto: W. Hashim (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 10 Ogos (UdaBayas) – Kesedaran generasi muda dalam memahami erti kemerdekaan akan memastikan sambutan hari kebangsaan terus dihayati dalam masyarakat Malaysia.

Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah,  Fiesal Haji Abdullah menyatakan  rasa cinta terhadap tanah air perlu ada dalam minda dan jiwa setiap generadi muda agar tidak terpengaruh dengan dakyah palsu dan musuh-musuh negara.

Fiesal melepaskan peserta KMJG, di sini semalam.

“Semangat patriotisme yang sejati dan kental ini akan menjadi azimat dalam menghadapi musuh Negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sempena Bulan Kebangsaan di Dewan Jubli Perak tengahari semalam.

Fiesal menjelaskan hasil nikmat kemerdekaan, generasi muda dapat belajar dalam suasana aman dan harmoni serta menjalin hubungan antara kaum sekaligus perpaduan kaum yang merupakan suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya dapat dicapai.

“Kesetiaan yang tinggi  terhadap negara ini akan mendorong semangat dan pengorbanan terhadap tanah air,” tambahnya.

Menurut seorang pengunjung, Haikal Yusof, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing berkata program seumpama ini amat berkesan dalam usaha menggelorakan semangat patrotik dalam kalangan generasi muda.