Laporan/foto: Zuriatina Tamat

TANGKAK, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Guru memikul tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan.

Guru juga berperanan membimbing generasi muda untuk menjadi pewaris pepimpinan negara tanpa mengira latar belakang mahupun perbezaan kaum dan agama.

Lima orang penerima selempang mewakili guru-guru Tangkak

Justeru itu, Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak mengambil inisiatif untuk memberikan sedikit sumbangan kepada guru-guru yang mempunyai masalah kesihatan di sini semalam.

Menurut Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak, Zakaria Hayun “Gerakan Massa adalah penghargaan dan pengiktirafan pihak-pihak luar terhadap sumbangan dan jasa pendidik. Ia adalah permulaan bagi Sambutan Perayaan Hari Guru yang lazimnya disambut pada 16 Mei setiap tahun dan pada kali ini Pejabat Pendidikan Daerah menyampaikan sedikit sumbangan kepada guru-guru yang mengalami masalah kesihatan.”

Bacaan ikrar oleh warga pendidik Tangkak

Seorang penerima sumbangan iaitu guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bekoh, Tan Chen Lee berkata beliau telah menghidap penyakit buah pinggang sejak tahun 2004 dan bertahan dengan ubat-ubatan dan penjagaan makanan.

“Setelah menghidap sakit buah pinggang sejak 2004, saya mengamalkan pemakan sihat dan mengambil ubat yang perlu. Tetapi bermula tahun 2017 saya terpaksa melakukan dialisis,” ujarnya.

Antara penerima sumbangan dari PPD Tangkak

“Kesihatan yang kurang baik sedikit sebanyak menjadi kekangan dalam kerja seorang guru. Saya akan cepat letih dan tidak dapat melakukan banyak aktiviti seperti dahulu,” tambah beliau lagi.

Seorang lagi penerima sumbangan dari PPD Tangkak, Ong Wei Wei, 46, mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat adalah pesakit kanser payu dara sejak 2014. Beliau telah menjalani rawatan kimoterapi dan kini masih meneruskan rawatan dengan ubat ubatan.

Apabila ditanya mengenai perancangan masa hadapan beliau berkata tidak akan bersara awal dari perkhidmatan perguruan.

Tan Chen Lee (kiri) dan Ong Wei Wei

“Walaupun sakit kita jangan sentiasa fikir bahawa kita adalah pesakit. Kita harus jalani kehidupan seperti biasa, dapatkan rawatan dan jaga kesihatan. Apabila kita bekerja dan berjumpa dengan rakan-rakan, itu juga satu bentuk sokongan untuk pesakit lebih bersemangat berbanding pesakit hanya duduk bersendirian di rumah,” katanya.

Seramai 19 orang guru yang mengalami masalah kesihatan seperti penghidap kanser, penyakit buah pinggang dan penyakit sendi telah menerima sumbangan dari PPD Tangkak. Sumbangan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ezahar Abu Sairin. Pada masa sama, Ezahar juga memakaikan selempang kepada lima orang wakil pendidik sebagai simbolik penghargaan kepada guru-guru di Tangkak.

EM