Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

 

BANDAR BAHARU, 30 Okt (UdaBayas) – Pejabat Penerangan Daerah Bandar Baharu bersama-sama  kariah Masjid Al-Naim Sungai Kechil Ilir telah menganjurkan program bercorak keilmuan untuk santapan rohani penduduk-penduduk di sini khasnya golongan muda.

Antara pengisian program adalah solat Maghrib dan Isyak berjemaah, ceramah agama, dan penyerahan sumbangan sejadah kepada pihak masjid.

Menurut penceramah jemputan, Mohamad Imran, peranan masjid bukan hanya sebagai tempat beribadah malah lebih daripada itu ianya meliputi peranan sebagai tempat penyatuan ummah dari golongan muda hingga  dewasa.

Sebahagian daripada jemaah yang hadir.

“Usaha mengimarahkan masjid seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak agar matlamat dan objektif penubuhannya tercapai.

“Sepatutnya persepsi orang ramai yang melihat institusi masjid semata-mata  sebagai tempat ibadah perlu diubah, dan peranan orang muda dalam menarik minat golongan yang sama untuk datang ke masjid melalui program-program mengikut kehendak jemaah perlu diikuti,” jelasnya.

Seorang jemaah yang ditemui, Fatimah Saad, menyifatkan program sebegini amat baik dan mulia dalam menarik minat golongan muda datang ke masjid kerana ceramah yang disampaikan bersahaja namun bermanfaat kerana berkisar tentang kepelbagaian aktiviti untuk golongan muda.

Beliau turut berharap pembabitan jabatan-jabatan kerajaan, sektor-sektor swasta serta badan-badan korporat dapat membantu dari segi dana untuk keperluan masjid-masjid mengadakan aktiviti dengan lebih kerap.