Laporan/foto: Muhamad Zaini Bin Dollah (Seberang Perai Selatan)

Nibong Tebal, 30 Okt (UdaBayas) – Menanam dan mengeratkan lagi perpaduan di negara ini Jabatan Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Muafakat Komuniti Sungai Acheh mengambil inisiatif menganjurkan Program [email protected] di perkarangan Tabika Kemas Sungai Acheh baru-baru ini.

Program ini bertujuan memupuk semangat cintakan Negara di samping mengeratkan lagi perpaduan antara penduduk kampung Sungai Acheh dalam pada masa sama mengembalikan nostalgia  dan memperkenalkan permainan tradisional seperti congkak, batu selambut, kreativiti gubahan Jalur Gemilang serta pakaian yang di buat dari Jalur Gemilang amat menarik dan mencuri tumpuan.

Antara Aktiviti lain juga adalah memasak gulai kawah dan merasai masakan ala kampung secara bergotong-royong serta membuat pulut kacau dan ini boleh diibaratkan sebagai kerja berpasukan mengamit kembali kenangan seperti masyarakat dahulu mengadakan kenduri kendara.

Menurut Farhani Ismail Pegawai Penerangan Daerah SPS, Program seperti ini adalah bertujuan untuk menanam semangat patriotik dan cintakan negara selain dapat menyatupadukan masyarakat seterusnya membentuk negara yang lebih cemerlang, ujarnya dalam ucapan perasmian.

Pengerusi Muafakat Sungai Acheh,Azhar Ahmad turut mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Daerah SPS yang banyak membantu bagi menjayakan program ini dan beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Said Cheek yang menaja dua orang pemenang cabutan bertuah ke Langkawi termasuk pengangkutan dan penginapan.

-ER