Laporan/foto: M.Syafiq Razi (Padang Terap)

KUALA NERANG, 2 Feb (UdaBayas) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) komited membantu terutamanya golongan suri rumah dengan memperkenalkan insentif suri (i-SURI) kepada umum.

i-SURI merupakan insentif kerajaan untuk suri rumah yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) di mana suri rumah, balu, ibu tunggal yang profil mereka didaftarkan dengan e-Kasih layak menyertai skim ini.

Menurut pegawai KWSP, Fazirah Ahmad Tarmizi, mereka yang berminat perlu membuat caruman setiap bulan ke akaun simpanan persaraan bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan.

“Pencarum harus mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan dan sebanyak RM40 akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP masing-masing,” katanya ketika ditemui dalam program KWSP Bersama Masyarakat Felda, di sini kelmarin.

Seorang pengunjung yang ditemui, Rozita Mohamad, 46, berterima kasih kepada KWSP yang hadir memberi penjelasan dan perkhidmatan.

“Saya bersyukur mereka turun padang menjenguk kampung kami kerana jarak antara pejabat KWSP di Alor Setar sangat jauh dengan perkampungan Felda.

“Hari ini saya berpeluang mendengar sendiri penerangan yang jelas oleh pegawai KWSP kerana agak sukar untuk kami mendapat maklumat sebelum ini” ujarnya.