PUTRAJAYA, 13 Dis (UdaBayas) – Seorang bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas kesalahan pengubahan wang haram dengan menyalahgunakan kuasanya.

Teo Chee Kong, 52, mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan terhadapnya yang berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram bernilai RM32.923 juta.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang telah dianugerahkan projek-projek penyelenggaraan JANS antara tahun 2010 hingga 2016.

Sebelum ini, pada 29 Disember 2016, Bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, bersama isterinya Fauziah Piut, 51, dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 62, telah dituduh di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dan mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan terhadap mereka.

Teo Chee Keong dituduh atas 146 pertuduhan iaitu 78 pertuduhan mengikut 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang mana tertuduh didapati memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram melalui 78 transaksi pindah milik yang bernilai hampir RM 12 juta.

Sementara itu, tertuduh juga dituduh atas 68 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 iaitu enam kesalahan memiliki wang tunai hasil daripada aktiviti haram berjumlah hampir RM 8 juta manakala 62 lagi kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil daripada aktiviti haram di lapan institusi kewangan yang berjumlah lebih kurang RM12.3 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Nixon Kennedy Kumbong menetapkan wang jaminan RM1.5 juta dengan deposit sebanyak RM500,000 dan dua penjamin tempatan terhadap tertuduh.

Tertuduh juga dikehendaki melapor diri di Pejabat SPRM Kota Kinabalu pada setiap hari Sabtu.

Bagi pihak SPRM, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Mohd Farez Rahman.

Sementara itu, sehingga kini jumlah wang yang telah disita dalam siasatan berhubung penyelewengan projek-projek JANS adalah sebanyak RM189.2 juta.

Berikut adalah pecahan jumlah sitaan yang telah dilakukan;
Ag Mohd Tahir Mohd Talib – RM 49.7 juta
Fauziah Piut – RM 2.22 juta
Lim Lam Beng – RM 2.38 juta
Teoh Chee Kong – RM32.9 juta
Jurutera Bahagian/Daerah JANS – RM19.9 juta

Selain itu juga, pasukan penyiasat dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di beberapa negara telah membekukan beberapa akaun bank milik Teo Chee Kong di luar negara, baru-baru ini.

Akaun tertuduh yang bernilai lebih kurang RM82 juta di luar negara telah disita bagi membantu siasatan SPRM dan kini dalam proses untuk memulangkan semula wang tersebut ke Malaysia bagi tujuan melucuthakkan melalui Legal Mutual Assistance (MLA).

Pada 7 Disember 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Nurcahaya Arshad telah mengeluarkan keputusan untuk melucuthakkan sejumlah RM19.97 juta wang tunai daripada jumlah keseluruhan wang dan akaun bank yang disita dalam operasi JANS bermula Oktober 2016 diserah kepada Kerajaan Malaysia.

RDL