Oleh: Syed F. / Foto: Bernama

PUTRAJAYA, 8 Jan (UdaBayas) – “Secara rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN) tidak menerima aduan daripada pelajar berkaitan isu ‘Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Perdaya Pelajar dan PTPTN’ yang dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM”.

Demikian kata, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya pada Khamis.

Tambah Shamsul pihaknya ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan perkara dibangkitkan dalam sidang media tentang isu IPTS Perdaya Pelajar yang diadakan oleh Ketua Aktivis PPIM, Toqqi @ Datuk Nadzim Johan pada Khamis sebelum sesuatu tindakan diambil.

“PTPTN sentiasa mengutamakan penerima pinjaman PTPTN. Justeru, bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara, PTPTN seberapa segera akan mengadakan perbincangan dengan IPTS dan pelajar berkenaan isu yang dinyatakan pada masa terdekat.

“Diharapkan masalah ini akan dapat diatasi segera dengan perbincangan yang diadakan kelak, dengan melibat semua pihak mengikut bidang kuasa yang PTPTN ada.

Shamsul turut berpendapat sewajarnyalah IPTS mesti lebih telus dalam menguruskan perihal pelajar.

“Bagi PTPTN sewajarnyalah IPTS mesti lebih telus dalam menguruskan perihal pelajar. Namun demikian, jika terbukti beberapa perkara yang berlaku itu di bawah bidang kuasa PTPTN, kita akan ambil tindakan mengikut kuasa yang ada.

“Walau bagaimanapun jika di bawah kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT ) maka pastinya kita akan berbincang dengan mereka agar perkara ini diselesaikan jika betul berlaku.

“Apapun PTPTN akan meneliti perkara ini kerana PTPTN bertanggungjawab memastikan pelajar yang menerima pembiayaan kita diberikan pembelaan,” jelasnya lagi.