Laporan / foto : Mohd Sanusi Arifin (Machang)

MACHANG, 8 Apr (Udabayas) – Sempena sambutan dan penghayatan peristiwa Israk Mikraj pada pada tahun ini, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tok Kaya telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ceramah Penghayatan Israk Mikraj pada 6 April 2019.

Program yang diadakan di Surau Tok Kaya ini telah dihadiri lebih 100 orang khariah Kampung Tok Kaya.

Acara bermula selepas solat Maghrib berjemaah disusuli dengan ceramah oleh Mohd Zawawi Mohamad, penceramah dari stesen RTM Kelantan.

“Saya bersama ahli jawatankuasa telah merangka dan menyusun program ini dalam masa tiga minggu. Kami terpaksa mengikut jadual penceramah untuk memutuskan tarikh program memandangkan jadual beliau amat padat,” ujar Asmawi Awang Kecik, 42, Pengerusi KRT Kampung Tok Kaya, yang memainkan peranan utama dalam merealisasikan program ini.

“Syukur Alhamdulillah, program kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dan hampir keseluruhan penduduk melibatkan diri,” tambah Asmawi lagi.

“Israk Mikraj merupakan satu peristiwa penting bagi seluruh umat Islam, Allah SWT telah menunjukkan kekuasaanNya menerusi peristiwa besar ini, Rasulullah SAW telah dibawa melangkaui langit ketujuh bagi melihat sendiri kekuasaan Allah,” jelas Zawawi dalam ceramahnya.

“Ibadat solat yang menjadi tiang agama turut disyariatkan kepada Rasulullah menerusi peristiwa Israk Mikraj, justeru sebagai umat Islam kita perlu mengambil iktibar dan menghayati sepenuhnya maksud sebenar Israk Mikraj,” tegas Zawawi sebelum mengakhiri ceramahnya.

Jemaah yang hadir sememangnya terkesan dengan ceramah oleh Zawawi di mana mereka telah diberi penjelasan bahawa peristiwa Israk Mikraj mempunyai satu anjakan paling besar serta penting dalam memantapkan kedudukan agama Islam.

– NAZ