Laporan/Foto: M. Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin

LABUAN 31 Okt (UdaBayas) – Jabatan Penerangan Malaysia menghargai sumbangan 22 Zon Muafakat Komuniti Malaysia (MKM) yang terdapat di W.P Labuan.

Menurut Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua MKM terutama kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Zon MKM di Labuan.

“Saya mewakili Ketua Pengarah Penerangan Malaysia mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi-pengerusi MKM yang dari dahulu sudi bekerjasama dengan pihak jabatan di masa susah serta senang.

Supian ( dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi MKM Zon 18, Datin Herin Lumpisau (dua dari kiri)

“Tuan-tuan telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dan diharap kerjasama ini akan diteruskan di tahun-tahun hadapan bagi meneruskan agenda perjuangan kita untuk Jabatan Penerangan dan Labuan.

“Kita raikan persamaan, hormati perbezaan, ada antara kita terdiri dari ahli-ahli politik tetapi kita menuju jalan yang sama iaitu menjadikan Labuan lebih bersatu-padu,”katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Zon MKM yang memenangi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018.

“Tahniah kepada MKM yang berjaya dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 iaitu MKM Zon 17 dan Zon 3, diharap Bulan Kebangsaan tahun hadapan dapat diisi dan disertai MKM lain agar dapat melahirkan rasa bangga serta cinta kepada negara yang kita sayangi,”katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Penghargaan Sempena Pembubaran Komuniti 1Malaysia dan Penubuhan Muafakat Komuniti Malaysia Peringkat W.P Labuan, semalam.

EM