Laporan/foto: Mohd Muhaimin Amran (Jasin)

MERLIMAU, 29 Apr (Udabayas) – Pendidikan Keselamatan Kejiranan telah diadakan didalam Program Dialog Keselamatan Dan Pencegahan Dadah Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Jasin dan Agensi Anti Dadah (AADK) Peringkat Daerah Jasin Tahun 2019, bertempat di Dewan Serbaguna Merlimau Timur, disini,semalam.

Ahli jawatankuasa KRT dan SRS berdialog bersama pihak polis dalam memantapkan lagi tahap keselamatan kawasan taman-taman perumahan.

Program yang julung kali diadakan ini merupakan satu platform yang memberi pendidikan, ruang dan peluang kepada anggota SRS bertukar pendapat dan idea mengenai kaedah yang lebih efisyen untuk mencegah jenayah dan dadah dalam komuniti bersama pihak Agensi Anti Dadah dan pihak Polis.

Ketua Balai, Balai Polis Merlimau ASP Zainal Adon, menyarankan kepada semua masyarakat supaya meletakkan hal keselamatan pada tahap yang tinggi ekoran kejadian jenayah yang kerap berlaku melibatkan wanita bukan di kawasan rondaan pihak polis.

Manakala, Pegawai Perpaduan Daerah Jasin, Norliana Mohd Zin berkata, program ini sangat baik untuk diteruskan kerana dapat memberi pendedahan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skuad Rondaan Sukarela (SRS) Daerah Jasin untuk bekerjasama dengan agensi keselamatan dan pihak PDRM dalam mencegah kes penagihan dadah serta jenayah di Daerah Jasin khususnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Daerah Jasin, Puan Siti Aminah, Ketua Unit Jabatan Pencegahan Jenayah Daerah Jasin, ASP Meran Anak Emai Fan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Daerah Jasin dan Anggota Skuad Rondaan Sukarela seluruh Daerah Jasin.

 

-KN