Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)

 

YAN, 19 Nov (UdaBayas) – “Sikap dan kecuaian manusia merupakan faktor utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia,” ujar Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) Negeri Kedah, Chan Pei Hong dalam majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Jalan Raya, di sini semalam.

Menurut beliau kadar kemalangan jalan raya boleh dikurangkan sekiranya semua pihak ambil peduli soal keselamatan serta sentiasa bertimbang rasa sewaktu di jalan raya.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Yan, Mohd Hasri Khaludin mewakili Pegawai Daerah Yan.

Pelbagai acara sampingan turut diadakan seperti mewarna kanak-kanak PERMATA, penyampaian sijil kepada rakan strategik JKJR Kedah, watikah kepada duta keselamatan jalan raya dan penyampaian faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, menurut Hashim Manaf, 49, yang turut menerima caruman dari Perkeso, beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan. Beliau yang telah kehilangan jari kelingking akibat kemalangan jalan raya sewaktu ingin ke tempat kerja turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.