Laporan & Foto Oleh : Ariffin Ahmad & Norieza Abd Ghafar (Klang)

SEMENTA, 13 Mac (UdaBayas) – Kejohanan Soccer Kids 2019 7 Sebelah Bawah 11 tahun bagi merebut Piala YB Dato’ Abdullah Sani merupakan program yang di anjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Muda, Pejabat Parlimen Kapar dan Kelab Bolasepak Tok Muda. Program telah diadakan bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Tok Muda pada 10 Mac lepas.

“Tahniah kepada semua pasukan yang terlibat dalam menjayakan program terbabit serta ucapan tahniah juga kepada pihak penganjur yang berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya”, ujar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Kapar dalam ucapan beliau.

Naib Juara, Chacha Marba JR (Melaka)

“Oleh itu, bagi menambahkan lagi semangat kental bolasepak anak-anak muda ini, akan ada penambahbaikan pertandingan yang akan di naik taraf pada tahun hadapan kepada Soccer Kids 12 tahun. Pertandingan ini juga bakal melahirkan pemain-pemain pelapis untuk negara”, kata Abdullah.

Matlamat penganjuran kejohanan ini adalah untuk memupuk dan menyemai semangat kesukanan terutamanya kepada anak-anak di bawah umur 11 tahun. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik anak-anak ini untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan penyertaan aktif dalam bidang sukan.

Sebanyak 24 pasukan yang telah menyertai pertandingan kali ini. Bukan sahaja di negeri Selangor malahan turut melibatkan pasukan sekolah dari luar Selangor (Melaka dan Negeri Sembilan). Oleh yang demikian , program seperti ini dilihat melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah juga dalam bidang sukan. Selain itu, dapat melahirkan dan mencungkil bakat-bakat baru untuk di gilap bagi mewakili pasukan bolasepak peringkat negeri dan peringkat kebangsaan serta mengeratkan hubungan silaturrahim antara peserta dan pihak penganjur.

Tempat ketiga, SK Meru 2

Pasukan Red Diamond A (Selangor) telah menjuarai Pertandingan Kejohanan Soccer Kids 2019 7 Sebelah Bawah 11 Tahun dengan memenangi hadiah berupa wang tunai berjumlah RM800.00 beserta Piala Kejohanan dan pingat.
Naib Juara pula dimenangi oleh Pasukan Chacha Marba JR (Melaka) dengan hadiah wang tunai berjumlah RM500.00 serta pingat. Manakala tempat ketiga kemenangan bersama daripada Pasukan Red diamond B (Selangor) dan Sekolah Kebangsaan Meru 2 (Selangor), masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM250.00 serta pingat.

Majlis turut dihadiri Pengerusi MPKK Tok Muda, En. Shamsuddin bin Liman dan agensi-agensi yang terlibat seperti Kapar Energy Ventures (KEV), Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kementerian Belia dan Sukan Daerah Klang, Pejabat Penerangan Daerah Klang, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara serta kehadiran dan sokongan daripada masyarakat setempat.

-NAZ