Laporan / foto : Muhammad Ashraf Ahmad Jarkasi (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 14 Apr (Udabayas) – Sekumpulan pelajar Kelab Malaysiaku dari 11 buah sekolah di daerah Hulu Langat berpeluang menyertai program kembara minda dan amalan demokrasi berparlimen anjuran Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat pada 10 April yang lepas.

Pelajar-pelajar tersebut telah dibawa melawat ke Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) Putrajaya dan kemudiannya dibawa melawat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Dalam rangka lawatan ini, pelajar-pelajar telah diberi pendedahan mengenai fungsi SPR selain proses pilihanraya yang dijalankan selaras dengan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Selain itu, di SPRM pula pelajar diberi peluang mengetahui kesalahan rasuah dan tindakan yang bakal diterima jika sabit kesalahan melakukan rasuah.

Menurut Aan Nurfatkhanah binti Mohd Rabid, 17, berkata “saya merasa teruja kerana berpeluang menyertai program yang dianjurkan kerana dapat mengetahui dengan lebih dekat bagaimana proses pilihanraya dijalankan dan berasa betapa pentingnya setiap orang mengelakkan diri dari melakukan rasuah dan secara langsung ianya dapat menyemai sifat jati diri kita sebagai orang yang bertanggungjawap kepada diri sendiri, keluarga, agama dan negara”.

Menurut Sathiswaran, 17, pula mengatakan lawatan kali ini dilihat amat memberi manfaat kepada beliau. “Lawatan kali ini memberi pendedahan bagaimana wakil rakyat dipilih melalui proses pengundian yang dikendalikan oleh SPR dan ianya merupakan satu sistem yang baik selain dapat melihat sendiri sejarah dan peralatan yang digunakan dalam menjalankan proses pilihanraya dan juga memberikan mesej yang jelas bahawa kita tidak boleh sama sekali melibatkan diri dalam apa jua bentuk rasuah,” jelas beliau.

Teoh Sing Jian, 17, juga menyatakan program kali ini memberi pengalaman yang berharga kepada beliau di mana beliau juga mengatakan rasa sedar akan natijah seseorang apabila terlibat dengan rasuah melalui taklimat yang diberikan.

Amalan demokrasi berparlimen di Malaysia juga dapat dirasakan apabila beliau sendiri berpeluang melalui sendiri simulasi proses pengundian yang diamalkan di negara ini apabila adanya pilihanraya.

Program pada kali ini melibatkan penyertaan seramai 110 orang pelajar dan 10 orang guru pengiring serta pegawai dan program ini merupakan program tahunan Jabatan Penerangan Malaysia yang disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah di bawah Kelab Malaysiaku.

-NAZ