Laporan & Foto: Anuar C A

KANGAR, (UdaBayas) 27 Jun – Kerajaan mencadangkan Ahad minggu pertama bagi bulan Julai setiap tahun dijadikan sebagai Hari Ibu dan Bapa negara ini.

Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan perkara ini sebaik selesai majlis perasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan 2018.

Program yang dihadiri lebih seribu orang berlangsung di Dewan 2020 itu dirasmikan oleh Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalulail yang bertemakan “Ibu dan Bapa Anugerah Terindah”.

“Hanya satu hari akan menjadi sambutan Hari Ibu dan Bapa,  tidak akan lagi diasingkan seperti sebelum ini bagi menghargai komitmen ibu dan bapa dalam mendidik dan membesarkan anak- anak. Kesungguhan dan komitmen inilah yang membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera dan minggu pertama Julai setiap tahun akan menjadi minggu Hari Ibu- Bapa mengikut peringkat masing- masing”, kata Dato’ Seri Wan Azizah Wan.

“ Untuk rekod, Malaysia akan menjadi negara keempat selepas Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Filipina yang meraikan Hari Ibu dan Bapa secara serentak”, tambahnya lagi.

Pada majlis yang sama, seramai enam anugerah bagi Ibu Gemilang dan tiga bagi Anugerah Bapa Inspirasi turut diumumkan serta diraikan pada petang tersebut. Hadiah kepada para penerima telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Pemenang Anugerah Ibu Gemilang ialah Noriah Ashari (Kategori Kebudayaan), Ong Kim Lian (Kesihatan), Rokiah Salim (Keselamatan), Parameswaran a/p Kulanthaiappan (Pendidikan), Sa’adiah Ali (Ekonomi) dan Ramlah Md Jalee untuk kategori (Orang Kelainan Upaya).

Manakala bagi kategori  Anugerah Bapa Inspirasi, dimenangi oleh Ng Chiew Khai (Kategori Umum), Mohd Yazid Bain (Orang Kelainan Upaya) dan Yahaya Md Arif bagi kategori Bapa Tunggal.

Aktiviti “Art Therapy” terbesar yang bertemakan “Therapeutic Expressive Arts Inspiration for Mom and Dad” sebagai satu usaha untuk menjalinkan ikatan kasih sayang diantara ibu, bapa dan anak, turut diadakan dalam program tersebut. Pada masa yang sama program ini telah berjaya dicatatkan di dalam The Malaysia Book of Records.

Turut berangkat Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Ibni Tuanku Syed Sirajuddin  Putra Jamalullail dan Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Azlan Man.