Laporan/foto : M.Syafiq Razi (Padang Terap)

KUALA NERANG, 30 Jan (UdaBayas) – Kegembiraan 14 orang warga emas yang menginap di Rumah Bathel Hill jelas terpancar pada raut wajah masing-masing apabila dikunjungi oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Negeri Kedah, Simon Ooi Tze Min yang turut menghulurkan angpau kepada mereka, di sini semalam.

Rumah Bathel Hill, merupakan pusat jagaan warga emas berbangsa cina persendirian di mana segala kos pengurusan adalah hasil sumbangan orang ramai.

“Suasana Rumah Bathel Hill ini, kurang selesa dan agak panas, saya berjanji untuk mendapatkan sejumlah peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membantu memperbesarkan rumah ini supaya penghuninya akan berasa lebih selesa,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Law Kiw Moi, 60, merupakan orang penting membantu menjaga dan menguruskan rumah ini merasa amat teruja dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi membantu memberi keselesaan kepada penghuni rumah ini.

“Saya harap warga emas di sini berasa seronok dengan wajah baru Rumah Bathel Hill nanti dan ini adalah hadiah Tahun Baharu Cina pada kami,” ujarnya kegembiraan.