Laporan/Foto : U.Prakash (Timur Laut)

GEORGETOWN, 1 Mei (Udabayas) – Seramai 70 orang telah menghadiri Ceramah Anti Dadah yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Ceramah Anti Dadah bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya dadah kepada semua lapisan masyarakat dan mencegah mereka daripada terlibat dengan dadah. Pihak urusetia telah menjemput Encik Muniandy Kuppusamy pegawai daripada AADK Negeri Pulau Pinang sebagai penceramah jemputan dan turut serta ahli jawantankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Medan Angsana.

Program ini mensasarkan ibu bapa sebagai golongan sasaran untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada ibubapa tentang bahaya dadah dan meningkatkan kesedaran tentang peranan mereka dalam mencegah anak-anak daripada terlibat dengan dadah.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Medan Angsana, M.Mahendran berkata, ceramah yang diberikan hari ini memberi pendedahan kepada pihaknya mengenai pencegahan jenayah dan bakal diaplikasi di kawasan kediamannya nanti.

“Selaku pemimpin kejiranan, kami perlu sentiasa menambah input dan seterusnya ilmu yang baru itu akan dikongsikan kepada penduduk lain. Dalam masa sama melaksanakannya,” katanya yang menyokong program bersama masyarakat seperti ini.
Guru Besar Tadika Pinang Sinar, Puan Muthurani Sivasamy yang turut hadir ceramah ini berkata, slot ceramah yang diadakan dilihat mampu membuka minda masyarakat akan kepentingan serta tanggungjawab mereka dalam membasmi masalah dadah ini.

“Sebelum ini mereka hanya merasakan pihak berkuasa sahaja yang bertanggungjawab ke atas masalah ini. Dengan berlangsungnya program sebegini, minda mereka dapat diisi dengan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh diri mereka,” katanya.