Oleh: Syed F. / Foto: Sinar Harian

PUTRAJAYA, 8 Jan (UdaBayas) –  1,215 buah sekolah sedia ada dan 88 buah sekolah baharu akan meneruskan pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) di sekolah masing-masing pada tahun ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis menyatakan semua 1,303 buah sekolah akan meneruskan program ini dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja.

“Pembukaan kelas yang melaksanakan DLP akan bermula pada 7 Januari 2018 bagi sekolah di negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor. Bagi negeri-negeri lain, pembukaan kelas yang melaksanakan DLP akan bermula pada 8 Januari 2018.

“Dalam hal ini, KPM juga ingin memaklumkan bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas dan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Tahun 2018 akan dikeluarkan pada minggu pertama Januari 2018.

“Pihak sekolah telah diminta membuat persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya pada peringkat sekolah masing-masing,” katanya.

DLP merupakan program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang Sains dan Matematik yang ditetapkan oleh KPM.