Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mohd Shuhaimi Ahmad (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 30 Okt (Malaysia Aktif) – Sekolah Menengah  Kebangsaan Seri Berang yang menamakan  kumpulan mereka Warisan Kesenian Siber muncul Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Terengganu 2018 yang diadakan di Kompleks Desa Taqwa, Kuala Telemong, Terengganu semalam.

Sekolah terbabit yang diwakili 5 pelajar tersebut telah berjaya menarik perhatian juri menerusi Sketsa bertajuk Benderaku berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan plak.

Kumpulan yang dianggotai oleh Lokman Hakim Hashim, Muhammad Akif Irfan Nazarudin, Muhammad Imran Jamaluddin , Puteri Diana Syuhada Mahamed Naser dan Nik Nuralissa Qistina Ramli.

Peserta Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Terengganu 2018

Menurut Guru Penyelaras dan merangkap guru pembimbingnya, Hanisah Talaha, sekolah terbabit memang bersedia sepenuhnya pada tahun ini sebagai penghormatan daerah Hulu Terengganu sebagai tuan rumah penganjurannya.

“Kemenangan ini berbaloi dengan penat lelah berlatih serta Komitmen yang luar biasa dari pelajar terbabit”.

Muhammad Akif Irfan Nazarudin, 14, antara pelakon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Berang berkata sungguh terkejut bila dinobatkan sebagai Juara kerana persaingan amat sengit dari sekolah yang lain.

Guru Pembimbing Kumpulan Warisan Kesenian Siber, SMK Seri Berang, Hanisah Talaha

Mohamad Imran Jamaluddin, 15, berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan lebih kerap pada masa akan datang dan gembira kerana berpeluang bersama program Jabatan Penerangan Negeri Terengganu juga mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah yang bersungguh – sungguh memberi ruang untuk mereka mengasah bakat juga menanam sikap berani berdepan dengan penonton.

Puteri Diana Syuhada Mahamed Naser, 15, yang membawa watak Ramlah iaitu seorang perempuan yang kasar dalam Sketsa tersebut.

“Mula-mula diberi watak Ramlah, memang teruja kerana sangat berlainan dengan sikap saya sebenarnya namun dengan bantuan guru saya dan rakan-rakan dapat menghayati watak dan berjaya mempersembahkan Sketsa Benderaku pada hari ini.” Ujarnya

Mohammad Imran Jamaluddin, 15

Naib Juara disandang oleh kumpulan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun dan menerima hadiah wang tunai RM15.00, sijil dan plak manakala tempat ke tiga disandang oleh kumpulan Kubest dari Sekolah Menengah Kuala Besut dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 , plak dan sijil.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Setiu dan Sekolah Menengah Panji Alam, Kuala Terengganu menerima hadiah saguhati berupa plak dan sijil.

Pertandingan Sketsa Rukun Negara adalah aktiviti komunikasi bersemuka berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan. Ia merupakan kaedah pemujukan yang mengabungkan kesemua kaedah komunikasi yang bermatlamatkan membentuk minda masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar iaitu ahli Kelab Malaysiaku untuk bersatu padu, meningkatkan semangat patriotik, bestari dan cintakan negara.

Pertandingan ini dilaksanakan secara tahunan di peringkat negeri melibatkan pelajar sekolah menengah yang terdapat Kelab Malaysiaku di seluruh negara.

Kelab Malaysiaku ini pula merupakan kegiatan bersepadu secara perkongsian pintar (smart partnership) antara Jabatan Penerangan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.Sketsa yang dilakonkan perlu berdasarkan lima prinsip Rukun Negara.

Kumpulan sketsa mempersembahkan lakonan berunsur ketuhanan

Penganjuran Pertandingan dilihat dapat memberi pemahaman konsep Rukun Negara bagi memupuk semangat jati diri dan Cintakan Negara selain dapat menghayati lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Suwadi Guliling menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir ialah Ketua Sektor Pembangunan Kemanusian, Jabatan Pendidikan Terengganu, Ngah Bidin dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat), Samsudin Daud.

Dengan adanya Pertandingan Sketsa Rukun Negara ini semua ahli Kelab Malaysiaku boleh mencungkil bakat-bakat baharu dalam seni lakonan juga menjadi duta kecil di peringkat sekolah dalam membentuk warganegara yang cintakan negara dan menamakan lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

EM