Laporan & Foto: Ramasamy Amas (Jempol)

JEMPOL, 10 Ogos (Udabayas) – 300 peserta terdiri daripada warga kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi peringkat negeri dan persekutuan telah menyertai Lambaian Merdeka Mendaki Bukit Taisho, Bahau pagi tadi. Program ini diketuai oleh Pemangku Pegawai Daerah Jempol,  Raja Norazli Raja Nordin dan telah dimulakan dengan acara senaman pagi yang dikendalikan oleh jurulatih dari PLKN Jempol selama 15 minit. Acara pelepasan kemudiannya disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah.

Setiap peserta dibekalkan dengan Jalur Gemilang

Menurut urus setia program, Faiz Ramli, “Tujuan program ini diadakan adalah untuk menghayati erti kemerdekaan dan membudayakan amalan hidup bersatu padu antara kaum sekaligus menghayati tema sambutan kemerdekaan “Sayangi Malaysiaku”, jelasnya. Tambahnya, selain daripada program ini, jawatankuasa induk sambutan bulan kemerdekaan juga telah mengaturkan pelbagai program lagi bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan antaranya ialah Konvoi Kembara Merdeka, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan acara perbarisan.

Sementara itu, Penyelia KEMAS,  Norzila Nordin berkata, “Inilah pertama kali saya mendaki Bukit Taisho walaupun saya sudah berusia 59 tahun tetapi saya tetap bersemangat kerana ingin memacak Jalur Gemilang di puncak Bukit Taisho ini”, katanya. Manakala seorang pesara kerajaan,  R. Papanan, 65 berkata, “Walaupun baru setahun lalu saya menjalani pembedahan jantung (bypass), tetapi tidak mematahkan semangat saya untuk sama-sama mendaki Bukit Taisho dan saya sangat teruja untuk memacak Jalur Gemilang sebagai lambang kemegahan negara Malaysia. Pendakian Bukit Taisho mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit untuk sampai ke puncak bukit dan para peserta dipandu oleh anggota Bomba dan Polis Jempol.

-N